Monday, November 22, 2010

Permasalahan semula

Blog ini terhasil semasa latihan 7 hari seperti yang disyaratkan dalam perkhidmatan awam. Tajuk kursus ialah Bagaimana Mencipta Blog. Tambahan pula ada cenderamata disediakan untuk blog yang terbaik. Akibatnya, hasilnya tidaklah seberapa kerana tujuan penulisan blog masih samar. Sekadar ada blog untuk ditunjukkan menyebabkannya tidak menarik walaupun untuk hadiah cenderamata. Jika tiada tujuan, semangat untuk menulis pun tiada.

Sesuatu perkara yang dilakukan perlu ada sebab dan tujuan kerana jika tidak, pasti pelakunya akan dipanggil gila. Hanya orang gila sahaja yang melakukan sesuatu tanpa sebab. Begitu juga jika tujuan asal sesuatu perkara itu dilakukan telah tercapai maka sebab untuk meneruskan perkara tersebut telah tiada lagi. Seperti blog ini; tujuannya telah tercapai iaitu Penciptaan Blog. Blog sudah ada – nak apa lagi? Masalah timbul apabila blog yang sudah ada tidak dimanafaatkan. Ini dikira membazir! Oleh itu tujuan baru perlu dicari.

Walaupun begitu, idea asal nama blog ini tercetus kerana saya ingin mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik 2012 yang akan diadakan di London. Acara sukan menembak yang dipilih ialah acara Trap walaupun acara Skeet lebih diminati. Kini saya telah mendapat satu tujuan kewujudan blog ini.

Tujuannya ialah : untuk merakamkan segala mehnah dan tribulasi dalam mencapai cita-cita penulis untuk memenangi satu pingat Emas dalam acara Trap di Sukan Olimpik 2012.